Hujan renyai-renyai di luar, secawan kopi panas di sebelah. Bunyi rintikan hujan yang sentiasa dirindui. Sempurna.
"Tidak dikatakan beriman seorang mukmin itu melainkan dia diuji"
Manusia kadang-kadang terlalu berpegang kepada perkara logik untuk kehidupan. Sebagai contoh, kita tahu 1+1=2. Dan kita berpegang dan percaya, mana mungkin 1+1 menjadi 3, 4 atau selain 2. Dan begitu juga dengan kehidupan, percaya dengan ada duit hidup akan bahagia, percaya kalau kahwin hidup akan sempurna tanpa duka, percaya akan dapat pekerjaan yang baik jika bergraduat dari universiti, percaya bahawa hidup lebih mudah jika ada persediaan yang cukup, percaya hidup tidak akan dikhianati oleh orang sangat dipercayai. Sebab mereka merasakan bahawa perkara tersebut agak mustahil untuk berlaku. Sama seperti kes 1+1.
Namun orang tak pernah terfikir "how is life when it falls apart". Sehingga mereka diuji.
Pada masa itu akal menjadi kurang rasional, merasakan takdir yang melanda merupakan satu suratan yang paling pedih, dan mula tertanya-tanya "Tuhan, mengapa begini?". Antara punca utama kenapa orang sangat mudah untuk kecewa. Kerana kepercayaan dan keyakinan yang melampau-lampau terhadap perkara yang belum tentu lagi realistik. Dan meletakkan kepercayaan kepada perkara yang tidak kekal selain dari Tuhan merupakan satu kesilapan yang paling nyata. Kita begitu yakin bahawa kepercayaan dan harapan yang kita tanam akan bertunas. Tetapi, tanpa kita sedar bahawa terdapatnya kemungkinan bahawa harapan akan mati disitu.
Untuk melihat betapa cantiknya aturan Tuhan, kita memerlukan masa. Untuk belajar apa yang Tuhan sedang sampaikan, kita memerlukan masa. Masa bukan menyembuhkan, tetapi masa adalah untuk kita perlahan-lahan menerima takdir Tuhan. Kita tak akan pernah lupa apa yang terjadi pada diri kita, dan ia akan tetap membekas dalam hati, mungkin sampai bila-bila. Tapi daripada masa, kita mempelajari makna dari apa yang terjadi pada diri kita. Tidak semua pengharapan bertunas, tidak semua kepercayaan kekal.
Bukanlah ini bermakna kita tidak diizinkan berharap, kita tidak diizinkan percaya. Tapi sebenarnya, di manakah letaknya pengharapan dan kepercayaan kita? Pada manusia atau kebendaan duniawi atau Tuhan? Hidup kadang-kadang menyimpang dari logik, yang mana kita tak terfikir pun bahawa pada satu-satu masa tiba-tiba ia menjadi terlalu abstrak untuk difahami. Namun begitu ini bukan bermakna kita harus berhenti percaya dan berharap, cuma perletakkan harapan dan keyakinan kita haruslah pada tempat yang tepat, iaitu pada Tuhan.
Sungguh pun begitu, hidup masih punya logik dan kita tidak boleh menolak logik seratus peratus. Sebagai contoh, kalau pemalas, mana mungkin berjaya? Kalau berbuat jahat, mana mungkin tidak akan dibalas kejahatan? Untuk semua perkara, dipenghujungnya nanti wujudnya logik. Cuma kadang-kadang dalam perjalanan kehidupan, tiba-tiba muncul perkara realisitik yang tak terjangkau oleh akal, dan bersimpang sebentar dari tanggapan kita. Seperti jika seseorang berusaha, dia akan berjaya, cuma dipertengahannya yang mungkin wujud beberapa kali kegagalan sebelum tibanya di penghujung yang logik, iaitu berjaya. Tuhan tidak pernah mensia-siakan orang yang berusaha dan tuhan tidak mensia-siakan orang berbuat kebaikan. Penuh bicara Tuhan di dalam al-Quran dengan janji-janjiNya bahawa setiap perkara ada balasannya, tidak kira baik atau jahat.
Persimpangan yang wujud dalam kehidupan kadang-kadang merupakan satu "pintu kecemasan" yang mana tuhan telah menyelamatkan kita dari satu jalan yang kita fikir betul, tapi hakikatnya salah. Bukankah itu satu rahmat, bahawa Tuhan masih memandang kita dengan penuh kasih sayang? Maka, untuk apa perkara sekali pun, bertawakallah pada Tuhan, supaya hati tidak retak seribu apabila kekecewaan melanda, apabila harapan tidak membuah hasil, apabila keyakinan kita dijatuhkan.
Bersangka baiklah pada Tuhan untuk setiap perkara yang terjadi yang mungkin jauh dari logik akal kita, dan kadang-kadang mungkin sukar untuk kita terima kenyataan. Letakkan logik pada nombor dua, letak ketentuan dan perancangan Tuhan pada nombor satu. Kerana untuk apa pun yang berlaku, sekuat mana pun kita merancang, takdir jua akan menang.
Apabila berharap, maka berharaplah pada Tuhanmu.
Aminah, 10.20 pagi.
Kolej Ungku Omar.